Naskah diambil dari : Berita Harian
ISLAM menitikberatkan soal penguasaan ilmu oleh umatnya. Hujah mengenai penekanan dalam hal itu terbukti apabila ayat al-Quran pertama diturunkan adalah saranan mencari ilmu iaitu: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah al-Alaq, ayat 1)
Malah, apabila manusia pertama dicipta iaitu Nabi Adam, Allah mengajarkan Baginda soal ilmu seperti firman-Nya bermaksud : “Dan Dia mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda dan gunanya...” (Surah al-Baqarah, ayat 31)Bagaimanapun, senario umat Islam pada masa kini sering dikaitkan dengan kegagalan dalam aspek penguasaan ilmu yang lebih didominasi masyarakat Barat. Umat Islam hanya mampu mengimbau nostalgia kegemilangan bidang ilmu pada tamadun Islam sekitar abad ke-13 tanpa memiliki kesedaran ke arah itu.Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata jumlah penduduk Islam di negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dianggarkan 25 peratus atau 1.625 bilion daripada penduduk dunia, tetapi daripada jumlah itu, tenaga kerja bidang sains dan teknologi hanya 7.6 juta orang.Katanya, jumlah tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di dunia Islam pula jauh lebih rendah iaitu hanya 1.1 peratus daripada tenaga kerja R&D dunia.
Beliau berkata, jumlah penulisan ilmiah dalam jurnal sains dan teknologi dihasilkan umat Islam juga hanya 1.1 peratus dan bilangan itu adalah lebih rendah daripada dihasilkan penduduk Switzerland yang memiliki penduduk seramai 6 juta orang.“Negara maju membelanjakan tiga hingga lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sains dan teknologi berbanding negara Islam yang membelanjakan kurang satu peratus KDNK untuk tujuan sama,” katanya pada Seminar Islam Hadhari-Pengenalan Semula dan Penguasaan Cabang Ilmu Asas Di Kalangan Umat Islam di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.Dalam nada yang sama, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata penekanan terhadap ilmu menjadikan masyarakat Arab terdahulu berubah daripada jahiliah kepada masyarakat ilmiah.
Bagaimanapun, katanya, penguasaan terhadap ilmu di kalangan umat Islam mula pudar apabila berlakunya kejumudan atau kebekuan berfikir golongan itu walaupun mereka sebelum ini sudah mencapai kemuncak peradaban manusia. Bagi mengembalikan kegemilangan itu terutamanya di negara ini, beliau menyarankan supaya sikap negatif yang menghalang minat terhadap ilmu antaranya kecenderungan terhadap corak kehidupan yang mengutamakan keseronokan semata-mata, dihapuskan.
Selain itu, penyediaan infrastruktur keilmuan, galakan dan motivasi terhadap masyarakat Islam untuk maju di bidang pelajaran dan pembangunan material serta usaha penterjemahan tulisan keilmuan ke bahasa tempatan perlu dipergiatkan.“Untuk menjayakan usaha besar ini, masyarakat Malaysia perlu cukup terbuka dalam hal ilmu.Mereka perlu menghapuskan anggapan bahawa ilmu agama dan kemanusiaan tidak menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Sunday, December 31, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment